Pelajar 14 Tahun Akan Didakwa Esok Atas Kes Bunuh Rakan Sekolah

KUALA LUMPUR: Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki membunuh rakan sekolahnya di Bandar Utama minggu lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.

“Hasil penelitian mendapati terdapat asas yang mencukupi untuk pertuduhan dikenakan terhadap pelajar lelaki terbabit. Sehubungan itu, AGC memutuskan untuk mendakwa pelajar berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574),” menurut kenyataan itu.

Kes tragis itu mencetuskan kejutan dalam kalangan masyarakat apabila mangsa, Yap Shing Xuen, pelajar Tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, ditemukan maut dengan kesan tikaman parah kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa lalu.

Menurut ibunya, Wong Lee Ping, bedah siasat mendapati terdapat lebih 200 kesan tikaman pada tubuh anaknya, kebanyakannya di bahagian kanan badan termasuk leher dan paru-paru, namun tiada kecederaan pada muka mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, sebelum ini mengesahkan penahanan suspek lelaki berusia 14 tahun di lokasi kejadian selain merampas dua bilah senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles