KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak seharusnya menjadi individu yang dipertanggungjawabkan dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, pegawai-pegawai kanan 1MDB sendiri yang melakukan pelbagai salah laku, termasuk melanggar arahan Lembaga Pengarah, membuat keputusan tanpa kelulusan, memindahkan dana secara tidak sah dan menerima imbuhan haram berjumlah berbilion ringgit.
Najib mendakwa, antara individu yang terbabit termasuk bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, yang dikatakan menyeleweng AS$1.6 bilion, manakala pegawai khasnya sendiri, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, menerima AS$1 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low).
Beliau turut menamakan beberapa individu utama 1MDB lain termasuk Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (CEO 1MDB) yang didakwa memindahkan AS$700 juta dan tambahan AS$330 juta kepada Jho Low tanpa kebenaran rasmi; Jasmine Loo Ai Swan (Peguam 1MDB) iaitu individu yang dikaitkan dengan pembelian lukisan Picasso dan memiliki RM100 juta aset dan Hazem Abdul Rahman (CEO 1MDB) yang dikatakan membayar AS$175 juta kepada sebuah syarikat palsu.
“Mereka semua dilihat sebagai saksi kredibel menentang saya, seolah-olah tiada motif untuk menipu. Sedangkan mereka sendiri pernah mengaku menjalankan rancangan sulit dan menghapuskan bukti komunikasi dengan Jho Low,” tegas Najib.
Menurutnya, pegawai-pegawai itu cuba melepaskan diri dengan menuding jari kepadanya kononnya semua tindakan mereka dilakukan atas arahan beliau.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini merupakan sambungan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang turut melibatkan 21 pertuduhan pengubahan wang haram terhadap Najib.
Prosiding yang dijangka berlangsung selama sembilan hari diteruskan esok dengan penghujahan pihak pembelaan yang diketuai peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.