KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil mempertahankan maruahnya di Mahkamah Tinggi hari ini dengan menegaskan bahawa tuduhan dilemparkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencemarkan reputasinya sebagai tokoh politik yang pernah menerajui negara selama lebih dua dekad.
Menurut Dr Mahathir, fitnah yang diulang oleh Anwar selepas menjadi Perdana Menteri memberi kesan jauh lebih mendalam kerana datang daripada seorang pemimpin tertinggi kerajaan.
“Sebelum beliau menjadi Perdana Menteri, tuduhan itu tidak memberi kesan besar. Tetapi apabila diucapkan oleh seorang yang kini berkuasa, kesannya amat berat kepada saya,” katanya ketika memberi keterangan.
Beliau berkata demikian pada hari pertama perbicaraan saman fitnah RM150 juta yang difailkannya terhadap Anwar berhubung dakwaan kononnya beliau bersikap rasis dan mengkayakan keluarga sendiri sepanjang tempoh pemerintahannya.
Dr Mahathir berkata, tuduhan itu bukan sekadar menyerang keperibadiannya, tetapi turut menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap integriti beliau sebagai bekas Perdana Menteri.
“Apabila seorang pemimpin membuat tuduhan tanpa bukti, orang ramai akan percaya. Saya lihat kenyataan-kenyataan di media sosial yang menuduh saya dengan perkara sama, ini fitnah yang meninggalkan kesan mendalam,” ujarnya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin.
Dalam keterangannya, Dr Mahathir turut menggambarkan Anwar sebagai seorang “penipu patologi” yang sanggup menabur tuduhan palsu demi kepentingan politik dan kuasa.
“Beliau menuduh saya diktator, zalim, dan menggunakan kedudukan untuk memperkayakan keluarga saya. Semua ini tidak benar, malah tidak pernah dibuktikan,” tegasnya.
Mahkamah turut menayangkan semula rakaman ucapan Anwar yang menjadi asas kepada saman tersebut.
Dr Mahathir kemudian menolak sepenuhnya dakwaan bahawa beliau pernah menyeleweng dana kerajaan, sambil menyatakan semua tuduhan terhadapnya tidak disokong oleh sebarang dokumen rasmi.
“Saya tidak pernah menerima wang daripada pengurusan kerajaan. Pendapatan saya hanyalah gaji sebagai Perdana Menteri, dan tiada bukti sebaliknya,” katanya.
Perbicaraan ditangguhkan dan akan bersambung pada 23 Oktober ini untuk sesi pemeriksaan balas selepas peguam Dr Mahathir, Muhammad Rafique Rashid Ali, memohon masa rehat buat anak guamnya.
Sebagai rekod, Dr Mahathir memfailkan saman berkenaan pada 3 Mei 2023, menuntut ganti rugi RM150 juta atas dakwaan bahawa kenyataan Anwar telah menjejaskan nama baik dan sumbangannya kepada negara.










