KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak pernah menuntut sebarang bentuk kekebalan daripada tindakan undang-undang, sebaliknya hanya menuntut hak untuk dilayan dengan adil seperti mana-mana individu lain yang dihadapkan ke mahkamah.
Dalam nada tenang di Mahkamah Tinggi hari ini, Najib berkata, keputusan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dibicarakan bukan hanya akan menentukan nasib dirinya, tetapi juga mencorakkan prinsip keadilan di negara ini.
“Saya tidak menuntut kekebalan. Saya cuma mahu keadilan dan hak yang dijamin di bawah undang-undang. Keputusan dalam kes ini akan memberi kesan yang jauh melangkaui diri saya,” katanya ketika membacakan kenyataan pengantar sebelum pasukan pembelaan memulakan penghujahan lisan.
Najib turut mengingatkan tentang pesanan mantan Presiden Mahkamah Agung, Tun Suffian Hashim yang pernah menegaskan bahawa apabila mahkamah tunduk kepada kehendak pihak berkuasa, maka keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman akan terhakis.
“Sejarah telah membuktikan kebenaran peringatan itu,” ujar beliau.
Najib kini berdepan empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Beliau menegaskan, kekeliruan dalam pertuduhan yang dikenakan menyukarkan pihak pembelaan untuk menyediakan hujah yang tepat.
“Pertuduhan yang berubah-ubah menimbulkan persoalan adakah saya dituduh atas satu perbuatan atau beberapa? Satu keputusan atau banyak? Jika tuduhan seperti ini diterima, maka tiada siapa pun, baik Perdana Menteri atau rakyat biasa, mampu memahami apa sebenarnya kesalahan yang perlu dijawab. Tanpa kepastian itu, tiadalah keadilan,” katanya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kini sedang mendengar penghujahan lisan yang dikemukakan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, mewakili pihak pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Najib didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB serta melakukan pengubahan wang haram antara 2011 hingga 2014 di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur.