SUNGAI PETANI: Seorang rakan kepada pendaki, Mustaqqeem Mansoor yang maut ketika menyertai ekspedisi Trans Slim dari Bukit Fraser ke Gunung Liang, menuntut dua malim yang mengendalikan ekspedisi itu tampil memberikan penjelasan mengenai beberapa persoalan penting berkaitan insiden tersebut.
Muhammad Hasif Roslan, 34, yang pernah bersekolah bersama Allahyarham di Sekolah Menengah Teknik Balik Pulau, berkata peranan malim terutama ketua malim dan sweeper wajar dipersoalkan kerana ia melibatkan keselamatan peserta.
“Di mana peranan ketua malim untuk merancang perjalanan supaya kumpulan tidak berpecah serta tindakan selepas komunikasi terputus?
“Kenapa ketua malim tidak melancarkan SAR selepas 12 atau 24 jam apabila ada peserta tidak tiba di garisan penamat?
“Adakah benar beliau tiba sehari awal (Selasa subuh) di bawah dan tidak mengambil apa-apa tindakan, malah terus pulang ke Pahang pada hari sama?
“Kenapa sweeper boleh meninggalkan mangsa seorang diri sedangkan tanggungjawabnya memastikan semua peserta berada di hadapan beliau?” soal Hasif dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pada awalnya dia memilih untuk tidak mengulas bagi memberi ruang kepada proses pengebumian berjalan lancar.
Namun, pelbagai spekulasi yang tular di media sosial mendorong mereka tampil menjelaskan apa yang diketahui hasil pertemuan dan perbualan bersama peserta lain yang turut mendapatkan rawatan di hospital.
“Kami terpanggil untuk berkongsi sedikit sebanyak perkara yang kami tahu bagi memberi gambaran lebih jelas kepada semua pihak yang masih tertanya-tanya mengenai apa yang berlaku,” katanya.
Beliau menegaskan, rakan dan keluarga Allahyarham hanya mahukan pembelaan yang seadil-adilnya.
Setakat ini, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, media melaporkan Mustaqqeem, dari Sungai Petani, Kedah, ditemukan tidak sedarkan diri di puncak Gunung Liang Barat kira-kira jam 3.30 petang Khamis selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kesejukan melampau (hipotermia).