BATU PAHAT: Hasrat sepasang kekasih untuk bermalam di hotel berakhir apabila mereka dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa agama dalam satu operasi tengah malam semalam.
Lelaki berusia 40-an yang sudah berkahwin dan pasangannya, seorang janda berusia 30-an, ditahan kira-kira jam 12.00 malam di sebuah hotel di daerah ini.
Menurut sumber, semakan di kaunter mendapati pasangan itu telah mendaftar masuk lebih sejam sebelum serbuan dilakukan, dengan tempahan bilik dibuat secara dalam talian pada kadar lebih RM200 semalam.
“Pintu bilik hanya dibuka lapan minit selepas diketuk, dan kedua-duanya ketika itu berpakaian lengkap. Mereka ditahan di bawah Seksyen 27 kerana disyaki berkhalwat,” katanya.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih mencurigakan apabila penguat kuasa menjumpai satu kotak ubat kuat lelaki di dalam bakul sampah bilik berkenaan.
Dipercayai produk tersebut mudah didapati secara bebas melalui aplikasi dalam talian.
Kes ini kini disiasat oleh pihak berkuasa agama, manakala kedua-dua individu terbabit bakal dikenakan tindakan lanjut.