Pemuda Umno Selangor Kecam Ucapan Adun Seri Kembangan, Dakwa Biadap Dan Sentuh Titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, – Kenyataan perbahasan oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Kembangan daripada Democratic Action Party (DAP) terus mencetuskan kontroversi apabila dikecam hebat oleh kepimpinan Pemuda UMNO Selangor yang menyifatkannya sebagai “biadap” serta berpotensi mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Mohd Imran Tamrin, dalam satu kenyataan media hari ini menegaskan pihaknya menjunjung kasih terhadap titah Sultan Selangor yang disampaikan ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Ke-15 pada 20 April lalu.

Menurut beliau, titah berkenaan mengandungi pandangan serta nasihat menyeluruh merangkumi aspek pembangunan, tadbir urus dan kepentingan rakyat negeri itu.

Namun begitu, beliau mengecam keras ucapan perbahasan ADUN Seri Kembangan pada 22 April yang menyentuh isu penternakan babi serta membuat perbandingan berkaitan prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Pemahaman dan hujahan yang dibangkitkan adalah meleset serta gagal mengambil kira struktur perundangan termasuk kedudukan dan peranan Sultan Selangor seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959,” katanya.

Tambah beliau, konteks ucapan tersebut dilihat seolah-olah mencabar dan mempertikaikan titah Sultan Selangor yang sebelum ini secara tegas menyatakan bahawa aktiviti penternakan babi tidak sesuai dilaksanakan di negeri berkenaan.

Dalam titah tersebut, Sultan Selangor menegaskan bahawa larangan terhadap penternakan babi dibuat berdasarkan beberapa faktor, namun masih terdapat pihak yang tidak berpuas hati serta enggan mematuhinya.

Mengulas lanjut, Mohd Imran berkata kerajaan negeri sebelum ini telah mengambil tindakan selaras dengan titah berkenaan, termasuk pembatalan projek ternakan babi di Bukit Tagar serta pemberhentian lesen dan penutupan ladang babi di Selangor pada awal tahun ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan ADUN Seri Kembangan membangkitkan isu tersebut dalam perbahasan sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi ketika sesi menjunjung kasih titah diraja.

Pemuda UMNO Selangor turut menggesa wakil rakyat berkenaan menarik balik kenyataan serta kandungan ucapannya dengan segera.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, beliau wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor selaras dengan Peraturan Tetap 70(3),” tegasnya.

Imran turut  menegaskan bahawa perkara melibatkan institusi diraja tidak seharusnya dipersoalkan secara terbuka, memandangkan kedudukannya yang dilindungi oleh Perlembagaan serta undang-undang negeri.

 

BBerkaitan

Latest articles