Agong: “Saya Tentukan Calon Terbaik Terajui SPRM Selepas Ini”

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat oleh baginda sendiri tanpa perlu dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Menerusi titah kepada Royal Press Office (RPO), Seri Paduka Baginda menekankan bahawa jawatan tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan SPRM terus berfungsi secara berkesan sebagai benteng utama negara dalam memerangi rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Saya akan menentukan calon terbaik untuk menerajui SPRM selepas ini,” titah baginda.

Kenyataan itu hadir ketika kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM sedia ada, Tan Sri Azam Baki dijangka tamat dalam tempoh kurang sebulan, iaitu pada 12 Mei ini.

Perkembangan itu turut mencetuskan spekulasi apabila beberapa nama disebut-sebut sebagai pengganti berpotensi.

Untuk rekod, Azam telah diberikan pelantikan semula sebanyak tiga kali, masing-masing bagi tempoh setahun bermula Mei 2023 hingga Mei tahun ini.

Beliau mula menerajui SPRM pada 9 Mac 2020, mengambil alih jawatan daripada Latheefa Beebi Koya yang menamatkan kontraknya lebih awal selaras dengan peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.

Penegasan oleh Seri Paduka Baginda dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan integriti institusi berkenaan terus terpelihara, selain mengelakkan sebarang campur tangan politik dalam proses pelantikan jawatan tertinggi itu.

BBerkaitan

Latest articles