KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian pelajar Universiti Malaya (UM) yang meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan kolej kediaman semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Mangsa turut mengalami kecederaan di bahagian dada, namun tiada kesan jerutan atau sebarang tanda unsur jenayah dikesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau memaklumkan, proses bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bermula jam 10 malam hingga 3 pagi.
Mayat pelajar terbabit telah dituntut oleh keluarganya pagi ini.