KUALA LUMPUR — YTL Construction telah menerima Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NKKP) 2025 bagi kategori Pembinaan (Kendalian Bangunan), sekali gus mengiktiraf komitmen syarikat terhadap amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang unggul di semua tapak pembinaannya.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad sempena Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NKKP) 2024 yang berlangsung di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA malam tadi.
Menurut Pengarah Eksekutif YTL Construction, Yeoh Keong Yuan, berkata pengiktirafan itu mencerminkan usaha gigih seluruh pasukan dalam mengekalkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat, selaras dengan prinsip korporat “Building the Right Thing”.
“Anugerah ini mencerminkan usaha gigih seluruh pasukan YTL Construction dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sentiasa menjadi keutamaan di setiap projek kami.
Kami berterima kasih kepada JKKP atas pengiktirafan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Yeoh, kejayaan itu juga memperkukuh misi syarikat untuk membina secara selamat, bertanggungjawab dan mampan, seiring dengan agenda pembangunan nasional yang menekankan kesejahteraan tenaga kerja serta kelestarian industri pembinaan.
Majlis anugerah anjuran KESUMA melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan JKKP itu mengiktiraf 28 pemenang daripada pelbagai kategori yang menampilkan pencapaian cemerlang dalam pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Acara tahun ini turut diserikan dengan pelancaran buku “150 Tahun Evolusi Penguatkuasaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Malaysia”, yang mendokumentasikan perjalanan sejarah perundangan dan penguatkuasaan KKP di negara ini , bermula dari era perlombongan bijih timah sehingga ke sektor moden masa kini.
Malaysia turut mencatat sejarah apabila JKKP dan NIOSH diiktiraf oleh Guinness World Records bagi kategori “World Record Achievement in Most Pledges Received for an Occupational Safety Campaign for One Year”, menandakan komitmen negara dalam memperkukuh budaya kerja selamat di peringkat antarabangsa.
Menurut KESUMA, penganjuran anugerah ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Promotional Framework for Occupational Safety and Health Convention (C187) dan Occupational Safety and Health Convention (C155) yang telah diratifikasi Malaysia, selaras dengan usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat, produktif dan berdaya saing.
Kerajaan berharap pengiktirafan ini akan terus menjadi pemangkin kepada semua pihak — kerajaan, majikan, pekerja dan industri — untuk menjadikan budaya kerja selamat dan sihat sebagai amalan utama dalam setiap organisasi di Malaysia.