Ryt Bank dan Courtsite Jalin Kerjasama Strategik Perkukuh Pembayaran Digital dan Ekosistem Sukan Negara

Kuala Lumpur – Ryt Bank, bank digital pertama di dunia yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), menjalin kerjasama strategik dengan platform tempahan kemudahan sukan terkemuka negara, Courtsite, bagi memperkukuh ekosistem pembayaran digital dan komuniti sukan di Malaysia.

Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dimeterai sempena ASEAN Sports Industry Expo (EISA) 2025 yang berlangsung di Setia City Convention Centre. Majlis berkenaan disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ryt Bank, Melvin Ooi, dan Pengarah Courtsite, Aaron Sheah.

Menurut kenyataan bersama, kerjasama ini akan meneroka inisiatif yang menggabungkan dunia kewangan digital dengan sukan melalui peningkatan sistem pembayaran tanpa tunai, pembangunan komuniti sukan tempatan serta program kolaboratif antara kedua-dua sektor.

Melvin Ooi berkata, kerjasama itu mencerminkan misi Ryt Bank untuk menjadikan perbankan lebih mudah diakses dan inklusif, seiring dengan gaya hidup rakyat Malaysia yang aktif dan dinamik.

“Seperti mana sukan menyatukan masyarakat melalui semangat bersama, perbankan juga seharusnya membolehkan rakyat Malaysia untuk menyertai, maju, dan berkembang. Kerjasama dengan Courtsite menzahirkan keyakinan kami bahawa perbankan perlu menyatu dalam kehidupan harian — bermula dengan sesuatu yang dekat dan memberi inspirasi seperti sukan,” katanya.

Sementara itu, Aaron Sheah berkata, kerjasama tersebut menjadi langkah penting dalam memperluas impak sosial dan ekonomi sukan di Malaysia menerusi inovasi digital.

“Sukan menyatukan, mengangkat dan memperkukuh komuniti. Dengan lebih 600,000 pengguna dan lebih lapan juta jam tempahan di 350 kemudahan sukan seluruh negara, Courtsite kini bersedia membawa semangat kesukanan ke dalam dunia digital bersama Ryt Bank,” katanya.

Melalui kerjasama ini, kedua-dua jenama berhasrat mencorakkan pengalaman baharu bagi pengguna dan komuniti sukan tempatan, selaras dengan komitmen Ryt Bank untuk menjadikan perbankan digital sebahagian daripada gaya hidup harian rakyat Malaysia.

BBerkaitan

Latest articles