Pelajar Senior Beritahu Bunyi ‘Benda Jatuh’ Sebelum Penemuan Mayat

KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior yang merupakan individu pertama menemukan Zara Qairina Mahathir pada pagi 16 Julai lepas, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa menjadi rutinnya bangun awal setiap hari untuk mencuci pakaian, menyeterika baju, menakung air untuk mandi, sebelum bersiap sedia menunaikan solat subuh di surau asrama sekolah.

Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-15, yang juga pelajar SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada hari ke-24 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan semalam.

Berkongsi keterangan saksi, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, yang mewakili ibu Zara Qairina berkata, saksi menyatakan pada pagi kejadian, dia ada mendengar bunyi seperti benda jatuh sebelum bangun, namun tidak berapa pasti kerana masih berada dalam keadaan ‘mamai’.

“Kata saksi, biasanya pada 3 pagi, pelajar-pelajar akan tidur tetapi ada juga yang akan bangun awal. Saksi juga memberitahu dia tidak mengenali Zara Qairina secara peribadi dan tidak pernah bercakap dengan remaja itu,” kata Mohd Syarulnizam ketika berkongsi keterangan saksi kepada pemberita selepas prosiding.

Sementara itu, peguam Joan Goh, yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes itu berkata, saksi itu juga memberitahu bahawa dia bangun awal untuk mencuci pakaian menggunakan mesin basuh supaya tidak berebut dengan pelajar lain.

Saksi berkata, semasa menuruni tangga menuju ke tingkat bawah blok asrama, dia ternampak seorang pelajar terbaring tidak sedarkan diri di kawasan longkang asrama, kemudian memanggil pelajar terbabit tetapi pelajar itu tidak memberi sebarang reaksi atau maklum balas.

“Saksi berkata, pada ketika itu dia tidak nampak mana-mana pelajar lain di aras bawah. Saksi juga menambah selepas itu, dia terus pergi ke pondok pengawal untuk meminta bantuan pengawal keselamatan asrama iaitu Linah Mansoding @ Jaliha,” kata Goh.

Pada September lepas, ketika Linah memberi keterangan, dia memaklumkan mahkamah bahawa ketika bertugas pada malam kejadian, pelajar senior itu memberitahunya mengenai penemuan mangsa dan mendakwa dia bangun awal kerana mahu mencuci pakaian.

Linah berkata, pelajar senior itu ialah individu pertama yang menemukan pelajar Tingkatan Satu itu dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lepas.

Pada prosiding hari ini, Goh berkata, saksi turut memberitahu dia tidak mengenali Zara Qairina dan tidak pasti sama ada mangsa mempunyai konflik atau dibuli pelajar lain di sekolah itu.

Sementara itu, peguam Azhier Farhan Arisin, yang mewakili empat remaja terlibat dalam kes buli Zara Qairina ketika berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-16 berkata, saksi tidak tahu mengenai insiden mangsa dipanggil dan dimarahi oleh pelajar senior sebelum ditemukan tidak sedarkan diri.

Saksi memberitahu, dia tidak akan diberitahu sekiranya pelajar senior berjumpa dengan junior kerana dia pengawas asrama di sekolah itu.

Saksi turut memaklumkan, warden kurang mengambil berat termasuk tidak membuat pemeriksaan asrama sehinggalah selepas kejadian itu, barulah warden dilihat meninjau setiap aras untuk membuat pemeriksaan.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung Selasa.

BBerkaitan

Latest articles