Keluarga Dakwa Mangsa Dibuli, Bukan Kemalangan

KUALA LUMPUR: Tular gambar seorang murid perempuan cedera di kepala semalam mencetuskan perdebatan apabila ahli keluarga tampil mendakwa mangsa sebenarnya menjadi mangsa buli, bukannya terlibat dalam kemalangan seperti dimaklumkan pihak sekolah.

Seorang pengguna Facebook, Lailykasing Upai, yang mendakwa mempunyai pertalian keluarga dengan mangsa, berkata murid itu mengalami luka di kepala sehingga menerima satu jahitan.

Menurutnya, mangsa merupakan cucu kepada abang sepupunya dan kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 pagi di dalam kelas ketika tiada guru.

“Cucu kami mengadu dia dipukul dengan tali pinggang. Budak lelaki itu marah kerana ditegur membuat bising dalam kelas,” tulisnya di ruangan komen Facebook bekas guru dan pempengaruh, Mohd Fadli Salleh.

Dalam hantaran berasingan, pemilik akaun Facebook Jeff Udan pula mendakwa mangsa dipukul menggunakan ‘buckle’ tali pinggang seorang pelajar lelaki sehingga menyebabkan kecederaan di kepala.

Bagaimanapun, sebelum dakwaan itu tular, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab menafikan unsur buli dan menyatakan kecederaan murid terbabit berpunca daripada kemalangan ketika bermain bersama rakan.

“Siasatan awal mendapati murid berkenaan cedera ketika bermain bersama rakan dan bukannya dipukul seperti yang didakwa.

“Pihak sekolah bertanggungjawab sepenuhnya dan telah membawa mangsa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan gambar yang tular di media sosial dirakam ketika mangsa dibawa ke hospital.

BBerkaitan

Latest articles