Saksi Forensik SPRM Dedah 754 Fail Invois Ditemui Dalam Komputer Syarikat

KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2025: Saksi pendakwaan, Pegawai Siasatan Forensik Digital SPRM, Abdul Mohamad Amroon, memberitahu mahkamah hasil analisis yang dilakukannya mendapati sebanyak 754 fail invois milik syarikat Golden Info (2020-2022), 43 fail invois syarikat AkuCom Solutions PLT (2021), serta tujuh fail pesanan pembelian milik Omega Dynasties Sdn Bhd telah ditemui dalam imej forensik sebuah komputer riba milik syarikat berkenaan.

Namun katanya, aplikasi dalam talian seperti Zoho Books dan WAVE Accounting tidak dapat diakses kerana pemeriksaan dilakukan ke atas imej salinan (dalam format .dmg) tanpa sambungan internet, bagi memastikan integriti bukti digital kekal terpelihara.

“Semua dokumen yang diperoleh telah dieksport ke dalam dua cakera optik DVD-R jenama Verbatim (4.7 GB), masing-masing disediakan untuk pegawai penyiasat dan simpanan makmal forensik. Laporan analisis bertarikh 10 Julai 2023 turut disahkan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Forensik Teknologi SPRM,” katanya ketika membaca pernyataan bertulis dihadapan Hakim, YA Tuan Rosli Ahmad.

Abdul Mohamad sebelum itu, memberitahu mahkamah bahawa beliau menerima arahan pada 9 April 2023 untuk menjalankan pemeriksaan forensik terhadap sebuah komputer riba berdasarkan borang permohonan rasmi bertarikh 10 April 2023.

Katanya, pemeriksaan dijalankan bagi mendapatkan invois dan pesanan pembelian syarikat-syarikat yang disenaraikan bagi tempoh antara 2020 hingga 2022, termasuk maklumat yang disimpan dalam aplikasi dalam talian seperti Zoho Books dan WAVE Accounting.

Beliau, yang berkhidmat di Bahagian Forensik Teknologi Ibu Pejabat SPRM sejak 2014, menjelaskan bahawa proses forensik melibatkan beberapa peringkat iaitu penerimaan eksibit, pengimejan (imaging) menggunakan perisian Recon ITR v1.17, penyimpanan bahan bukti, analisis menggunakan perisian Forensic Toolkit (FTK), dan penyediaan laporan rasmi.

Jelasnya, selepas selesai menjalankan siasatan komputer riba tersebut dibungkus semula dan diserahkan kembali kepada pegawai rekod pada hari yang sama laporan disiapkan.

Saksi selain itu, turut mengesahkan borang permohonan forensik, laporan analisis, komputer riba MacBook Pro, pengecas dan dua DVD-R sebagai eksibit mahkamah.

Pihak pembelaan diwakili Peguam, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Datuk Amer Hamzah bagaimanapun memohon penangguhan pemeriksaan balas bagi memberi masa untuk meneliti kandungan DVD-R yang mengandungi dokumen digital berkaitan siasatan tersebut.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya, Aznika Mohd Anas.

Tertuduh Ng Shih Chiow (Brian) didakwa melakukan kesalahan pada 22 Mei 2020, di Wisma Revenue, No. 12, Jalan Udang Harimau 2 Kepong, Business Park Kuala Lumpur dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu telah bersubahat secara berpakat jahat dengan Cheng Choon Choon, yang merupakan Pengurus Syarikat Golden Infor Services, memalsukan suatu dokumen iaitu invois bernombor INV-20201100074, berjumlah RM1,100,000.00 bertarikh 22.05.2020 dengan niat menipu.

Shih Chiow dituduh mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang di baca bersama seksyen 109 Kanun yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman penjara 7 tahun atau dikenakan denda jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles