PETALING JAYA: Mayat pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut dalam kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah semalam, dijangka disemadikan pada Isnin ini.
Menurut maklumat sebagaimana memetik Malaysia Gazette, upacara pembakaran mayat akan berlangsung jam 11 pagi Isnin, manakala ziarah dan penghormatan terakhir dibuka bermula esok untuk ahli keluarga serta kenalan terdekat.
Terdahulu, jasad mangsa telah dituntut keluarganya jam 7.30 pagi tadi di Unit Patalogi Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejurus selesai proses bedah siasat awal pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dijangka mengadakan sidang media bagi memaklumkan perkembangan terbaharu kes, termasuk keputusan permohonan reman terhadap suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Suspek yang juga rakan sekolah mangsa ditahan semalam dan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).