KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpin kanan parti susulan dakwaan pelanggaran Perlembagaan dan tatakelakuan ahli.
Ahli Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat serta-merta daripada parti, menurut kenyataan Lembaga Disiplin hari ini.
Turut dipecat ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris.
Sementara itu, Ahli Parlimen Machang yang juga ahli MPT, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung keahlian selama satu penggal.
Menurut Lembaga Disiplin, tindakan tersebut diambil berdasarkan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu yang mewajibkan setiap ahli mematuhi perlembagaan parti, kod etika dan tatakelakuan.
“Semua pemimpin terbabit telah dipanggil pada 8 Oktober lalu berhubung beberapa dakwaan, termasuk isu pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” kata kenyataan itu.
Mereka didakwa terlibat mengumpul SD daripada Ketua Bahagian seluruh negara bagi mencadangkan perbincangan mengenai peralihan kepimpinankepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Jelas Lembaga Disiplin, keputusan dibuat hasil siasatan rapi tanpa campur tangan mana-mana pihak dan dilaksanakan secara bebas serta adil.
Ahli yang dikenakan tindakan disiplin bagaimanapun berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh 14 hari.
“Lembaga Disiplin menyeru semua ahli Bersatu supaya terus mematuhi Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan parti demi menjaga nama baik Bersatu,” katanya.