Inkues Zara Qairina: Saksi Dedah Pernah Dipanggil Senior Konon Curi Makanan

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendedahkan pernah dipanggil oleh pelajar senior ketika masih bergelar junior kerana dituduh mencuri makanan.

Saksi ke-11 yang juga saksi ke-20 inkues itu memberitahu Mahkamah Koroner perkara tersebut ketika ditanya peguam mengenai suasana asrama dan insiden melibatkan arwah sebelum ditemui tidak sedarkan diri pada awal pagi 16 Julai lalu.

Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang kanak-kanak tertuduh dalam inkues itu, berkata saksi juga mengakui mengetahui bahawa Zara pernah dipanggil oleh pelajar senior berhubung kehilangan kad bank milik rakan dan lencana Jalur Gemilang ketua bilik.

“Saksi ketika bergelar junior juga pernah dipanggil pelajar senior kerana disyaki mencuri makanan,” kata Joan semasa prosiding hari ke-21 di Mahkamah Koroner, hari ini.

Joan berkata, saksi bersetuju bahawa pada malam 15 Julai, apabila arwah Zara dipanggil pelajar senior kerana disyaki mencuri, tindakan itu dianggap sebahagian daripada tanggungjawab senior, bukan bertujuan membuli.

Saksi turut menceritakan detik awal tragedi pada 3.50 pagi, 16 Julai, apabila dia terjaga daripada tidur sebelum dimaklumkan oleh seorang pelajar bahawa “ada orang mati”.

“Saksi dan pelajar lain berlari ke hujung tangga kerana ‘orang’ itu telah diangkat ke hujung asrama sementara menunggu ambulans,” katanya.

Saksi kemudian pergi ke surau dan hanya ketika itu dia mengetahui bahawa individu yang dimaksudkan ialah Zara Qairina.

Joan berkata, saksi memaklumkan bahawa pada jam 6.30 pagi hari kejadian, dia menyertai pasukan hoki sekolah ke Kompleks Sukan Likas.

Apabila pulang sekitar 6 petang, saksi diberitahu bahawa Zara berada dalam keadaan tenat.

Menurut saksi, dia hanya mengetahui mengenai apa yang berlaku di dalam bilik asrama selepas diceritakan oleh pelajar lain, yang mendakwa tiada sebarang kejadian pukul ke atas Zara.

Saksi turut menggambarkan personaliti Zara sebagai pelajar yang ramah, sopan dan suka berkongsi makanan.

“Dia akan beri salam, ‘Assalamualaikum kak,’ dan suka berkongsi makanan,” katanya.

Joan bersama peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak dan juga merupakan saksi dalam inkues ini.

BBerkaitan

Latest articles