Calon SPM Ditemui Maut Dalam Bilik Berkunci Dari Dalam

JELEBU: Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemui meninggal dunia di kediamannya di Kuala Klawang, malam Sabtu lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa ditemui tidak bernyawa di dalam sebuah bilik di rumah keluarganya.

Menurutnya, kira-kira jam 11.50 malam, Balai Polis Kuala Klawang menerima panggilan daripada pegawai perubatan Hospital Jelebu yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Seorang remaja perempuan tempatan ditemui meninggal dunia dalam rumah di Kuala Klawang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati mangsa dijumpai di bilik pertama rumah teres setingkat berkenaan dengan pintu bilik dikunci dari dalam.

Alzafny berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah.

“Selain itu, tiada kesan geledah dalam rumah dan semua barang peribadi milik mangsa berada dalam keadaan lengkap,” katanya.

Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih, kerana ia boleh menjejaskan siasatan serta menyinggung sensitiviti keluarga mangsa.

BBerkaitan

Latest articles