Anwar Kesal Peningkatan Kes Buli, Rogol Pelajar, Pendidikan Perlu Utama Nilai Moral

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes salah laku serius di institusi pendidikan, termasuk insiden buli dan rogol pelajar yang berlaku baru-baru ini.

Beliau menegaskan, kejadian seperti itu menunjukkan sistem pendidikan negara masih lemah kerana terlalu menumpukan pencapaian akademik tetapi mengabaikan pembinaan nilai moral serta etika dalam diri pelajar.

Menurut Anwar, pendidikan yang hanya berorientasikan ilmu tanpa disandarkan kepada prinsip kemanusiaan dan akhlak akan melahirkan generasi yang tidak seimbang dari segi sahsiah.

“Kita tidak boleh hanya salahkan guru. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan. Kita mesti ada iltizam untuk lakukan yang terbaik demi keluarga, masyarakat dan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Oktober yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, hari ini.

Turut hadir Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar menekankan bahawa pendekatan pendidikan negara perlu disemak semula agar penekanan terhadap nilai, empati dan tanggungjawab diperkukuh secara serius.

Jelasnya, kelemahan sistem bukan sahaja datang dari sekolah, malah bermula dari rumah apabila aspek didikan akhlak tidak diberi perhatian.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan akademik tidak boleh menjadi ukuran tunggal, sebaliknya pembinaan karakter dan kepimpinan diri pelajar perlu dijadikan asas utama.

“Gejala buli bukan sekadar masalah disiplin, ia petanda bahawa sistem kita perlu diseimbangkan semula dengan penekanan kepada nilai dan prinsip moral,” katanya.

Pada Jumaat lalu, Anwar mengingatkan bahawa buli ialah “jenayah senyap” yang mampu memusnahkan masa depan, meninggalkan trauma mendalam dan meragut nyawa.

Beliau menegaskan, budaya buli tidak boleh dibiarkan terus berleluasa di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun dalam talian.

Justeru, gejala itu perlu ditangani melalui pendidikan empati serta penguatkuasaan tegas tanpa sebarang kompromi.

Perdana Menteri berharap semua pihak iaiti guru, ibu bapa dan masyarakat berganding bahu memperkukuh pembentukan sahsiah generasi muda demi melahirkan negara yang berakhlak dan beretika.

BBerkaitan

Latest articles