YTL Communications Lancar 5G Advanced Pertama Di Malaysia, Naik Taraf Percuma Untuk Semua Pengguna

KUALA LUMPUR: Malaysia melangkah ke era baharu teknologi apabila YTL Communications, menerusi jenama perkhidmatannya Yes, menjadi syarikat telekomunikasi pertama di negara ini yang melancarkan 5G Advanced secara komersial.

Pelaksanaan rangkaian generasi baharu itu telah bermula di Lembah Klang dan dijangka siap di seluruh negara menjelang Disember 2025.

5G Advanced menjanjikan liputan 5G lebih meluas (luar & dalam bangunan); kelajuan muat turun dan muat naik terpantas dalam kelasnya, kependaman ultra-rendah (ultra-low latency) dan rangkaian “sedia AI” dengan teknologi Advanced Network Slicing.

Lebih menarik, semua pelanggan Yes pascabayar dan jalur lebar tanpa wayar akan dinaik taraf secara automatik ke 5G Advanced tanpa caj tambahan dan tanpa perlu daftar semula.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee, menegaskan 5G Advanced bukan sekadar naik taraf teknikal, tetapi asas kepada masa depan digital negara.

“Dengan 5G Advanced, rakyat Malaysia akan menikmati liputan menyeluruh dan prestasi rangkaian tanpa tandingan. Ini membuka jalan kepada masyarakat yang inklusif dan bersedia untuk era AI,” katanya pada acara Yes Presents: The Future First Tech-Talk.

Yes turut memperkenalkan buat pertama kali di Malaysia, teknologi Advanced Network Slicing ‘haluan VIP’ rangkaian yang memberi keutamaan trafik mengikut Kualiti Perkhidmatan (QoS), memastikan sambungan stabil walaupun ketika trafik tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Datuk Azman Ismail, menyifatkan langkah Yes sebagai pencetus kemajuan industri.

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan YTL Communications untuk mempercepat pelaksanaan teknologi berasaskan AI menjelang hujung tahun,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan CEO Ericsson Malaysia, Sri Lanka & Bangladesh, David Hägerbro, berkata YTL kini berada dalam kelompok 9 pengendali pertama di dunia yang memperkenalkan 5G Advanced.

“Ini membuka lembaran baharu transformasi digital Malaysia. Ia membawa pengalaman mudah alih bertaraf dunia, penstriman lebih lancar dan permainan online lebih responsif,” katanya.

APA YANG PENGGUNA DAPAT?
1. Liputan 5G Terluas di Malaysia

Gabungan spektrum 700MHz + 3500MHz =
• Penembusan bangunan lebih kuat
• Liputan luar lebih luas
• Panggilan suara melalui rangkaian baharu (VoNR)
• Trafik pintar untuk streaming, gaming & aplikasi industri

2. Sedia untuk Era AI
Melalui pengoptimuman kendiri dan Network Slicing, Yes boleh sesuaikan rangkaian secara masa nyata penting untuk AI, aplikasi masa nyata, IoT, automasi dan industri pintar.

Selaras dengan slogan “Uncap Yourself”, Yes komited memastikan internet berkelajuan tinggi kekal mampu milik dan boleh diakses semua rakyat Malaysia, sambil membawa teknologi global ke tanah air lebih awal daripada pesaing lain.

Dengan 5G Advanced, Malaysia kini semakin hampir menjadi hab AI dan teknologi paling maju di rantau ini.

BBerkaitan

Latest articles