KUALA LUMPUR: Sabah sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai “Destinasi Kegemaran Malaysia” apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung di Matta Fair Kuala Lumpur, sebuah pameran pelancongan pengguna terbesar yang berlangsung pada 5 hingga 7 September yang lalu.
Penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah telah mencatat jualan memberangsangkan sebanyak RM5.1 juta, sekaligus mencipta rekod baharu. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14.2% berbanding penyertaan pada April 2025, dan 46.8% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada September 2024.
Acara dwi tahunan ini menyaksikan Sabah mengambil 94 ruang pameran di Dewan MITEC, Kuala Lumpur.
Delegasi utama Sabah diketuai oleh Datuk Joniston Bangkuai, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB).
Dalam acara tersebut, Datuk Joniston telah melancarkan tiga pakej percutian baharu iaitu: Pakej Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat, dan Pakej Percutian Tawau.
Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Surrendren Sathasivam, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Nigel Wong, Presiden MATTA; Datuk Tan Kok Liang, Pengerusi Penganjur Matta Fair dan Timbalan Pengerusi STB; Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif STB; serta Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Pengarah Kanan Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kami amat berpuas hati dengan sambutan luar biasa terhadap penyertaan Sabah di Matta Fair Kuala Lumpur. Acara ini membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri Sabah.
“Dengan pelancaran pakej baharu ini, kami teruja untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi, dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” kata Julinus Jeffery Jimit, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah.
Pembelian pakej-pakej baharu ini turut melayakkan pengunjung untuk menebus rebat tunai istimewa serta barangan edisi terhad STB, tertakluk kepada terma dan syarat. Pakej ini juga boleh ditempah melalui platform baharu Lembaga Pelancongan Sabah di HelloSabah.com.
“Lembaga Pelancongan Sabah juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen kami terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI). Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan.
“Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” tambah beliau.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Pavilion Sabah, termasuk permainan tradisional, cabaran tarian tradisi, dan pengalaman Realiti Maya (VR).
Sepanjang pameran, Lembaga Pelancongan Sabah turut menghiburkan pengunjung dengan persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Era Budaya. Penyanyi terkenal dari Sabah, Dabra Sia, turut membuat persembahan lagu-lagu popular beliau sambil mengajak pengunjung menari bersama.
Turut diumumkan dalam pameran itu ialah penganjuran Flamewave Music Festival, sebuah acara muzik yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober 2025, yang dianjurkan oleh Olumis Consulting and Technology Sdn Bhd.
Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong. Negeri ini terus menjadi destinasi pilihan bagi mereka yang mencari keindahan alam semula jadi yang luar biasa, kepelbagaian budaya yang kaya, serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Para pelawat digalakkan untuk terus meneroka, merasai dan menikmati Sabah bukan hanya sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai satu pengalaman.