Lelaki Ditahan Selepas Tular Video Onani Depan Pasar Raya

KLUANG: Tindakan tidak senonoh seorang lelaki yang melakukan onani di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Batu 4 semalam membawa padah apabila dia ditahan polis dalam tempoh kurang sejam selepas kejadian tular.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden memalukan itu pada jam 4.22 petang, selepas video perbuatan terbabit mula tersebar di media sosial.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 4.16 petang dan melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun yang bertindak melakukan perbuatan lucah secara terbuka di lokasi awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan dan maklumat awam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang berjaya menahan suspek di tepi Jalan Besar Mersing kira-kira jam 5 petang hari yang sama.

Menurut Bahrin, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, namun saringan ujian air kencing menunjukkan keputusan negatif terhadap dadah.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan terus ke mana-mana balai polis berhampiran atau hubungi IPD Kluang di talian 07-7784222 / 07-7784256 (direct line), 07-7766822 (hotline) atau 014-3656822 (Tablet DCC),” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles