CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima bayaran kompaun RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Abdul Halim yang dikenakan tindakan penguatkuasaan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik dan melampau menyentuh sentimen kaum serta agama melalui aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.
Menurut MCMC, tindakan penguatkuasaan terhadap Mohamad Shafiq diambil hasil siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), serta selepas memperoleh kebenaran pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
“MCMC memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem atau yang menyentuh institusi negara.
“Pengguna media sosial diingatkan sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC turut menegaskan komitmennya untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring usaha memperkukuhkan perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia.