AMPANG: Bekas pelumba lebuh raya kebangsaan, Nor Effandy Rosli, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan gangguan seksual terhadap remaja perempuan, tahun lalu.
Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 1998 itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Nor Effandy, 58, didakwa melakukan gangguan dengan niat seksual terhadap mangsa dengan cara mengurut paha, payu dara, dan punggung mangsa di kedai basikal Fun D Cycle Point, di Taman Desa Keramat.
Tertuduh merupakan jurulatih berbasikal mangsa ketika kejadian itu didakwa berlaku sekitar 6 petang, Jun 2024, semasa remaja perempuan itu berusia 15 tahun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama kerana tertuduh mempunyai hubungan kepercayaan dengan mangsa.
Nor Effandy berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Seksyen 16(1) akta tersebut memperuntukkan hukuman penjara tambahan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang daripada dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Norshila menetapkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan pasport Nor Effandy diserahkan kepada mahkamah.
Hakim juga menetapkan 1 Ogos bagi serahan dokumen.