“Hukuman Sedang Dijalankan” Ke Atas Israel, Iran Ikrar Terus Tindak Balas

KUALA LUMPUR: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam kenyataan hari ini memberi amaran bahawa “hukuman ke atas Israel sedang dilaksanakan”, susulan tindakan ketenteraan gabungan Amerika Syarikat dan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran baru-baru ini.

Dalam kenyataan rasmi pertamanya sejak ketegangan memuncak, Khamenei menyifatkan serangan tersebut sebagai satu jenayah besar yang tidak boleh dibiarkan tanpa pembalasan.

Mesej itu disiarkan menerusi platform X, disertai visual imej tengkorak terbakar di tengah latar bangunan musnah, dengan simbol Bintang Daud menyala api, simbolik kemarahan Tehran terhadap rejim Zionis.

“Musuh Zionis telah melakukan kesilapan besar, jenayah besar; ia mesti dihukum dan sedang dihukum – hukuman itu sedang dilaksanakan sekarang,” kata beliau.

Kenyataan ini hadir hanya beberapa hari selepas serangan udara yang dilancarkan oleh gabungan AS-Israel menyasarkan fasiliti nuklear utama Iran, sekali gus mencetuskan serangan balas dari Tehran dalam bentuk peluru berpandu balistik.

Pemerhati antarabangsa kini bimbang dengan risiko konflik berskala penuh di Asia Barat, ketika kedua-dua kuasa besar wilayah ini menunjukkan tiada tanda-tanda ingin meredakan ketegangan.

Situasi ini menambahkan lagi ketidaktentuan di rantau yang sedia tegang, dengan banyak pihak antarabangsa menyeru agar semua pihak menahan diri dan mengutamakan dialog diplomatik.

BBerkaitan

Latest articles