Najib Desak Extradisi Tim Leissner ke Malaysia Dipercepat, Dakwa Wujud Pengabaian Fakta Penting dalam Perbicaraan 1MDB

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2025 — Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Dato’ Sri Najib Tun Razak hari ini menggesa Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia agar segera mengambil tindakan tegas untuk mengekstradisi bekas rakan kongsi Goldman Sachs, Tim Leissner, ke Malaysia, susulan peranannya dalam skandal 1MDB.

Dalam kenyataan media dua halaman, firma itu menegaskan bahawa walaupun laporan media termasuk The Wall Street Journal, The Star dan Free Malaysia Today menyatakan Malaysia telah menghantar permintaan ekstradisi kepada Amerika Syarikat, tiada maklumat diberikan kepada mahkamah atau pasukan pembelaan Najib sehinggalah selepas pembelaan ditutup.

Menurut kenyataan itu, Dato’ Sri Najib telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 27 Oktober 2021 agar Leissner diekstradisi selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan Malaysia berkaitan 1MDB. Namun, saksi ke-49 pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB, Puan Nur Aida Ariffin, mengaku di mahkamah pada Disember 2024 bahawa beliau tidak mengetahui perkembangan laporan itu.

Shafee & Co menyifatkan tindakan mendiamkan permintaan ekstradisi oleh Jabatan Peguam Negara selama sembilan bulan sebagai “mengejutkan” dan menafikan hak pembelaan Najib terhadap bukti yang berpotensi membebaskan beliau — khususnya identiti pegawai yang dinamakan oleh Leissner dalam pengakuan bersalahnya di AS.

Disebabkan tiada tindakan susulan daripada pihak berkuasa Malaysia, Najib telah memfailkan permohonan penemuan maklumat (discovery) di Mahkamah Selatan New York pada 2023 di bawah Seksyen 1782 Kod AS, bagi mendapatkan bukti terus daripada Leissner. Namun, permohonan itu ditangguhkan atas permintaan kerajaan AS kerana dikhuatiri menjejaskan perbicaraan Roger Ng yang sedang berlangsung ketika itu.

Pada Februari 2025, Najib memohon semula agar prosiding discovery itu dibuka semula. Namun, seorang hakim AS menolak permohonan itu dengan alasan ia boleh menjejaskan hak Leissner di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan AS dan membebankan beliau menjelang hukuman.

Najib Sedia Bekerjasama Penuh

Shafee & Co mengakhiri kenyataan dengan menyeru kepada ketelusan penuh daripada pihak berkuasa di Putrajaya dan Washington untuk membuktikan keadilan ditegakkan tanpa pengaruh politik.

“Dato’ Sri Najib kekal bersedia bekerjasama dengan mana-mana usaha ikhlas membawa Mr Leissner ke mahkamah Malaysia dan mendedahkan kebenaran sepenuhnya kepada negara,” kata kenyataan itu.

BBerkaitan

Latest articles