SUBANG JAYA – Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Subang, Dr Wan Hasifi Amin, mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia dalam pemilihan parti tahun ini.
Menurut Dr Wan Hasifi, penurunan minat politik dalam kalangan anak muda berpunca daripada tanggapan bahawa politik tidak memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian. Justeru, beliau berpandangan KEADILAN perlu menawarkan pendekatan yang lebih praktikal dan berimpak sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan parti.
“KEADILAN sebagai parti reformasi perlu ubah persepsi ini. Kita kena tampil dengan solusi yang bukan saja relevan, tapi benar-benar menyentuh kehidupan ahli di peringkat akar umbi,” katanya.
Dr Wan Hasifi merupakan seorang usahawan dalam bidang teknologi dan pernah tersenarai dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia pada tahun 2020. Beliau berkata, pengalaman dalam dunia teknologi akan diterjemahkan ke dalam perjalanannya dalam politik bagi memperkenalkan pendekatan baharu dalam menyelesaikan isu rakyat.
Antara inisiatif utama yang dibawa ialah pelaksanaan aplikasi Community Group Buying (CGB) — satu platform pembelian barangan asas secara kolektif yang menyasarkan penjimatan sehingga 15% sebulan bagi ahli KEADILAN.
“Saya mahu pastikan idea ini tidak kekal di atas kertas. Ia akan diuji terus di Subang sebelum diluaskan ke seluruh negara. Jika 500,000 ahli KEADILAN dapat jimat RM200 sebulan, kita akan saksikan penjimatan kolektif sehingga RM1.2 bilion setahun,” ujarnya sambil menekankan bahawa politik harus menjadi medium menyelesaikan masalah rakyat.
Beliau juga bercadang memperluaskan rangkaian Kelab Mahasiswa KEADILAN ke institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara sebagai pelaburan jangka panjang untuk membina kepimpinan muda dalam parti.
Sekiranya terpilih sebagai Naib Ketua AMK Malaysia, dua fokus utama yang akan diperjuangkan beliau ialah:
1. Memperkasa pelaksanaan aplikasi Community Group Buying sebagai inisiatif ekonomi untuk ahli parti.
2. Memperluas jaringan Kelab Mahasiswa KEADILAN di peringkat antarabangsa sebagai tapak kepimpinan masa depan.