KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap insiden kebakaran paip gas yang mengejutkan di Putra Heights awal bulan ini telah selesai, menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Bercakap selepas menyampaikan bantuan sewa rumah kepada mangsa terlibat di Bangunan SUK Selangor, Amirudin berkata siasatan teknikal kini sedang dijalankan bagi meneliti punca kejadian secara menyeluruh.
“Laporan awal sudah ada, tapi kita perlukan masa tambahan kerana tanah di kawasan itu masih belum stabil dan ditakungi air,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Perancang dan Kawalan Tanah (JPKT) sedang menjalankan siasatan terperinci.
Amirudin turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan menyeluruh bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang, termasuk langkah-langkah menambah baik jajaran paip gas sedia ada.
“Tujuan kita jelas – elak tragedi berulang demi kesejahteraan penduduk dan keselamatan komuniti,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kerja-kerja membaik pulih rumah mangsa insiden dijadualkan bermula minggu ini.
“Kita telah bahagikan pembaikan kepada beberapa kategori. Kategori pertama melibatkan kerosakan kecil bawah RM30,000 – penduduk boleh baiki sendiri dan tuntut kos tersebut daripada pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Menurut Amirudin, proses tuntutan akan dikendalikan oleh Ketua Kampung dan Persatuan Penduduk yang akan menyerahkan borang tuntutan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) setiap minggu.
Bagi kerosakan lebih serius, kerja pembaikan akan dilaksanakan melalui dua kaedah utama.
“Di Putra Heights, kerja baik pulih akan dijalankan oleh Sime Darby selaku pemaju dengan sokongan dana daripada kerajaan Persekutuan,” jelas Amirudin.
Sementara itu, rumah di Kampung Sungai Baharu pula akan dibaiki oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) kerana melibatkan kawasan kampung tradisional.
“Fokus kita ialah membaiki rumah dengan keperluan asas lengkap, termasuk sistem pendawaian, supaya kediaman itu boleh didiami semula,” katanya.