KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini dengan majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam saingan tiga penjuru, Ustaz Yusri meraih 11,065 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS yang mendapat 1,106 undi.
Dengan kemenangan ini, BN bukan sahaja berjaya mengekalkan penguasaan di Ayer Kuning, malah mencatatkan pertambahan majoriti sebanyak 5,006 undi, berbanding 2,213 undi pada PRU15 yang lalu.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi, Dewan Merdeka, Tapah, malam ini.
Turut hadir ialah Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Sekretariat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Kemenangan ini mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Perpaduan di Perak yang diterajui bersama BN dan Pakatan Harapan (PH), dengan gabungan mereka kekal memegang 32 kerusi berbanding 26 kerusi oleh PN.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin dari BN akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Daripada 31,281 pengundi berdaftar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa 58.07 peratus keluar mengundi hari ini, menurun berbanding 74.85 peratus pada PRU15.
Proses pengundian melibatkan 19 pusat mengundi dengan 63 saluran, dibuka seawal 8 pagi dan ditutup secara berperingkat sehingga 6 petang.
Pengundian awal sebelum ini juga menunjukkan jumlah memberangsangkan dengan 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan menunaikan tanggungjawab mereka pada 22 April lalu.