SUBANG JAYA: GV Ride, penyedia perkhidmatan e-hailing tempatan menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata inisiatif itu ditawarkan bagi memberikan sokongan kepada penduduk yang terjejas yang kini yang sedang berhadapan situasi mencabar.
Beliau berkata, GV Ride menyediakan perjalanan percuma bagi membantu penduduk yang terkesan untuk ke tempat kerja, sekolah, janji temu perubatan dan keperluan penting lain.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen GV Ride terhadap sokongan komuniti dan memastikan gangguan terhadap rutin harian adalah minimum.
“GV Ride menegaskan komitmen syarikat untuk sentiasa bersama komuniti. Kami percaya pada tindakan apabila komuniti kami paling memerlukan.
“Inisiatif ini adalah cara kami untuk menyumbang semula dan memastikan mereka yang terkesan oleh tragedi ini mempunyai akses kepada pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selain itu, Kabeer berkata GV Ride juga akan bekerjasama rapat dengan pejabat EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam usaha bantuan bagi menyelaras program ini.
Katanya, inisiatif ini akan berlangsung untuk satu tempoh masa, bagi memberi peluang kepada keluarga yang terkesan membuat persediaan dan penyelesaian pengangkutan jangka panjang.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lalu menyebabkan 219 rumah disahkan mengalami kerosakan, manakala 220 rumah lagi diisytiharkan selamat dan tidak terjejas.