KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam merekodkan penghakiman persetujuan antara Synergy Promenade Sdn Bhd dengan bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad, dalam saman fitnah yang difailkan oleh Synergy Promenade pada 2018 berkaitan projek KL Vertical City (Projek KLVC).
Susulan penghakiman persetujuan ini, Synergy Promenade menarik balik tuntutannya terhadap Shahrir dan Felda.
Penghakiman persetujuan itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir, selepas Shahrir dan pemilik bersama Synergy Promenade, Datuk Abdul Rahman Soltan, bersetuju untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama.
Tiada perintah mengenai kos dikeluarkan.
Kenyataan itu dibacakan oleh Shahrir di mahkamah terbuka.
“Saya, Shahrir, dengan ini menjelaskan saya tidak pernah berniat untuk menjejaskan integriti profesional, tingkah laku, dan kejujuran Synergy Promenade serta para pengarahnya berkaitan Projek KLVC. Selain itu, saya menerima dan mengesahkan memorandum persefahaman (MOU) bertarikh 15 Januari 2018 adalah sah, mempunyai kesahan yang kukuh, dan tidak terjejas oleh sebarang faktor yang boleh membatalkannya.
“Saya juga menerima dan mengesahkan transaksi berkaitan pemindahan tanah Felda di bawah perjanjian jual beli (SPA) dan surat kuasa wakil (PA), serta pemindahan semula kepada Felda di bawah MOU, adalah telus, sah, dan bebas daripada sebarang faktor yang boleh membatalkannya,” kata Shahrir dalam kenyataan bersama yang ditandatanganinya bersama Abdul Rahman.
Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Shahrir, manakala Simon Murali dan Amrit Pal mewakili Synergy Promenade, dan Kumar Kanagasingam mewakili Felda.
Firoz Hussein dan Amrit mengesahkan keputusan yang dicapai semalam.
Bagaimanapun, tindakan saman fitnah Synergy Promenade terhadap New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan pihak lain masih diteruskan.
Synergy Promenade memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Shahrir dan Felda pada 2018.
Syarikat itu menyatakan pihaknya mengambil tindakan berkenaan bagi melindungi dirinya susulan kenyataan yang dibuat oleh Shahrir, serta menyifatkan tindakan itu sebagai langkah untuk menangani pemalsuan fakta berniat jahat yang menjejaskan reputasinya.
Synergy Promenade, yang berpangkalan di Shah Alam, terbabit dalam pemindahan 16 lot tanah di Jalan Semarak, berkeluasan 16.06 ekar (6.5 hektar) dan bernilai RM270 juta, kepada dirinya sendiri dan syarikatnya, Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd, melalui empat perjanjian pada 2 Disember 2015 dan 7 November 2016.
Syarikat itu juga memfailkan saman serupa terhadap NSTP, yang telah disatukan dengan perbicaraan di hadapan Hakim Akhtar.