PAS Dakwa UMNO “Bunuh Diri” Dengan Terus Bersama DAP

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa UMNO sedang “membunuh diri” atas kerjasamanya dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata kenyataan terbaharu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, membuktikan bahawa UMNO bukan lagi sebuah parti yang dihormati.

“Kenyataan ini memperlihatkan bahawa UMNO yang kini mencium DAP, ibarat hidung tak mancung pipi tersorong-sorong,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada ucapan Guan Eng dalam satu majlis makan malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, di mana pemimpin DAP itu menegaskan bahawa parti berkenaan “tidak pernah dikuasai UMNO semasa menjadi pembangkang dan tidak akan dikuasai apabila berada dalam kerajaan.”

Abdul Hadi mendakwa kenyataan Guan Eng membawa implikasi sinis terhadap parti-parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Amanah, PKR, dan UMNO.

Menurutnya, parti-parti ini ibarat “mangsa yang dibelit oleh ular besar,” yang akhirnya akan “ditelan sedikit demi sedikit.”

Beliau turut menuduh bahawa pemimpin Melayu dalam DAP sekadar menjadi “suara bagi pihak DAP,” manakala PKR dan UMNO pula “terpukau dengan pangkat dan projek mega.”

“Mereka sanggup bersama DAP asalkan diberikan jawatan sebagai menteri, timbalan menteri, menteri besar, atau exco, malah ada yang menagih projek mega,” katanya.

Abdul Hadi juga menegaskan bahawa Islam menetapkan sempadan dalam bekerjasama dengan bukan Islam, iaitu hanya dengan mereka yang tidak bersikap ekstrem.

Beliau mendakwa ada pihak dalam kerajaan yang cuba menyingkirkan Melayu dan bumiputera, dan PAS menolak kerjasama dengan golongan sedemikian.

Sehubungan itu, beliau mengajak parti-parti yang terlibat untuk kembali ke pangkal jalan.

BBerkaitan

Latest articles