Sultan Pahang Titah Umat Islam Bangkit Pertahan Kesucian Agama

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menyeru umat Islam di negeri ini untuk bersatu mempertahankan kesucian agama Islam agar tidak diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Baginda menzahirkan rasa dukacita kerana masih terdapat suara-suara yang mencabar kemuliaan Islam, seolah-olah tiada batasan dalam berbicara dan bertindak.

“Adakah ini yang dikatakan sebagai sebuah negara merdeka? Atau hanya merdeka pada angka, bukan minda rakyatnya? Fikirkan bersama,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikongsi di laman Facebook rasmi Kesultanan Pahang.

Titah tersebut dizahirkan ketika baginda berkenan mengisytiharkan nama baharu Masjid Kampung Durian Hijau sebagai Masjid Abdul Rahman Ibn Auf dalam satu majlis rasmi di masjid berkenaan malam tadi.

Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah mengingatkan umat Islam agar tidak berdiam diri apabila agama dihina, walaupun Islam mengajar kesopanan dan sifat merendah diri.

“Jangan hanya kerana kelembutan dan kesopanan kita, ada pihak yang berani memperlekehkan agama sesuka hati,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa Islam tidak pernah mengajar umatnya tunduk kepada penghinaan dan penindasan.

Sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini, baginda menyeru setiap Muslim untuk memainkan peranan dalam mempertahankan kesucian Islam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

Al-Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa menjamin kebebasan beragama selagi ia tidak menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negeri.

“Dalam kebijaksanaan dan keadilan pemerintahan, agama-agama lain diberi ruang untuk diamalkan dengan aman dan damai. Selagi mana ia tidak menggugat ketenteraman awam, selagi itulah hak setiap penganut terpelihara,” titah baginda.

Baginda turut menegaskan bahawa Islam bukan sekadar sebuah agama tetapi satu amanah yang mesti dipertahankan oleh setiap umatnya tanpa mengira pangkat, keturunan, atau asal usul.

Mengakhiri titahnya, baginda mengingatkan rakyat bahawa dalam sebuah negeri yang berbilang kaum dan agama, tiada yang lebih penting selain nilai hormat-menghormati serta menjaga sensitiviti kepercayaan masing-masing demi keharmonian bersama.

BBerkaitan

Latest articles