KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak bersikap berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang sengaja mencetuskan isu perkauman dan agama.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, menyifatkan dakwaan bahawa kerajaan berat sebelah oleh beberapa pihak jelas cubaan menanam prasangka buruk dan negatif dalam kalangan masyarakat.
“Tuduhan ini adalah tuduhan liar yang tidak berasas sama sekali. Sesiapa yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa,” kata Tunku Nashrul dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Tunku Nashrul turut menggariskan beberapa contoh tindakan tegas yang telah diambil oleh kerajaan berhubung isu sensitif agama, antaranya kes yang melibatkan penghinaan terhadap kalimah Allah melalui penjualan stokin, di mana syarikat dan pembekalnya dikenakan denda RM60,000.
Selain itu, seorang lelaki yang mempersenda kalimah Allah dijatuhkan hukuman denda RM12,000 dan penjara enam bulan, manakala peniaga jagung bakar yang meletakkan notis perkauman dikenakan denda RM400.
“Pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap juga masing-masing didenda RM10,000 kerana terlibat dalam isu serupa,” tambahnya.
Tunku Nashrul menekankan bahawa setiap kes yang dilaporkan akan disiasat dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
“Setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui proses dan hukum negara. Ini adalah mesej yang tegas kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama atau kaum, kerana hal tersebut hanya akan merobohkan kekuatan dan keharmonian negara,” katanya.
Beliau juga menegaskan Anwar peringatan agar semua pihak tidak mengambil kesempatan untuk membakar sentimen perkauman atau menanam kebencian di kalangan rakyat.
Selasa lalu, polis mengesahkan bahawa tiga penyampai radio 3 Pagi Era FM sedang disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berikutan kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci yang dilakukan semasa perayaan Thaipusam.
Tiga penyampai radio tersebut telah memohon maaf dan video yang mempersendakan upacara itu juga telah dipadamkan daripada platform media sosial stesen berkenaan.