KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Sepang hari ini menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pelakon dan pelawak, Along Cham atas pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.49 gram di sebuah rumah di Cyberjaya, pada jam 3.10 petang, 14 Disember tahun lalu.
Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad mengaku faham dengan pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Md Ruslan.
Bagaimanapun pelakon berusia 42 tahun itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Bagi kesalahan itu, Along didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Berat dadah dinyatakan adalah berat bersih selepas laporan kimia diperoleh, di mana, sebelum ini, berat dadah adalah 2.07 gram.
Sementara itu, Along memberitahu, dia sedia menjalani perbicaraan panjang membabitkan pertuduhan kes dadah dihadapinya.
“Saya akan beri kerjasama penuh… Insya-Allah,” katanya ditemui selepas prosiding kes di Mahkamah Majistret Sepang hari ini.
Pada prosiding itu, Along diwakili peguam, Syed Yusuf Syed Zaid manakala pendakwaan diwakili pegawai pendakwa, Sutri Patang.
Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskannya (DNAA) atas satu pertuduhan dadah jenis kanabis pada 14 Disember lalu.
Bagaimanapun, Along kemudian dituduh atas dua pertuduhan masing-masing memiliki dan memasukkan dadah.
Di Mahkamah Majistret ketika itu, bekas penyampai radio itu berdepan pertuduhan memiliki kanabis seberat 49.61 gram dan mengambil dadah tetra hydrocannibol (THC) pada tempat, waktu dan tarikh sama.