KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap cucu lelaki tiri berusia enam tahun tiga bulan di sebuah rumah pada waktu pagi bulan lalu hingga bulan ini.
Bagaimanapun lelaki itu mengaku tidak bersalah selepas pendakwaan yang dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya.
Sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Dalam prosiding yang sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 14 (b) AKSTKK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan serta tidak mengganggu saksi dan mangsa hingga kes selesai.
Sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen ditetapkan 19 Mac ini.