KUALA LUMPUR: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan tiada siapa yang boleh menimpakan nakba kedua di Palestin.
Erdogan berkata, rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memusnah negara Palestin dan mengambil alih Semenanjung Gaza tidak boleh dipandang ringan, khusunya umat Islam.
“Insya-Allah tiada siapa yang boleh atau mampu untuk menimpakan nakba kedua kepada rakyat Palestin,” katanya ketika berucap pada Syarahan Umum di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Katanya, Israel bertanggungjawab menanggung kemusnahan Gaza yang kini mencecah AS$100 bilion.
“Setiap kerosakan yang tidak dibayar akan menjadikan pelakunya lebih ganas. Selepas melakukan banyak kemusnahan, penderitaan dan kekejaman, Israel tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
Erdogan juga berkata, Turkiye tidak pernah tunduk kepada penindasan dan penindas, jauh sekali membiarkan penduduk Gaza dan Palestin bersendirian walaupun sesaat.
“Kami telah berusaha sedaya upaya untuk menghentikan serangan dan meminta mereka yang bertanggungjawab dihadapkan kepada mahkamah antarabangsa.
“Malangnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak dapat menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang meragut nyawa lebih 61,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Dalam pada itu, Erdogan berkata, umat Islam perlu meningkatkan usaha untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka dan bersepadu secara geografi dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.
“Saya percaya semua ini adalah kewajipan persaudaraan dan hutang hati nurani kepada rakyat Palestin yang tertindas,” katanya lagi.