KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata titik persahabatannya bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dibina atas dasar kepercayaan dan saling ada di kala Waktu sukar.
Menyifatkan Erdogan sebagai sebagai seorang rakan sejati, Anwar turut mengimbau bagaimana pemimpin berkenaan menghubungi beliau dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara peribadi Ketika mereka dilanda tempoh mencabar.
“Ketika melalui kesusahan, beliau menghulurkan bantuan apabila ramai berpaling tadah.
“Sokongannya bukan sembarangan atau direka untuk kepentingan politik. Ia ekspresi persaudaraan tulen.
“Sokongan anda, kawan saya, saudara saya, bukan atas sebab politik. Ia ekspresi persahabatan dan simpati tulen.
“Saya tidak pernah lupakan kebaikan awak. Rakyat Malaysia tidak akan pernah lupakannya,” demikian menurut Anwar semasa berucap pada sebuah majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sempena lawatan dua hari Erdogan ke Malaysia.
Menyorot sejarah, Anwar berkata kedua-dua mereka mula bersahabat di zaman beliau dalam pembangkang serta era Reformasi.
Malah Anwar memohon perlindungan di Kedutaan Turki di Kuala Lumpur ketika berdepan tuduhan jenayah liwat pada tahun 2008.
Dalam masa yang sama Anwar memuji Erdogan sebagai susuk pemimpin berwawasan yang membawa Turki melalui tempoh transformasi sejak dua dekad lalu.
Begitu juga dengan ketegasan dan komitmen Erdogan atas perjuangan rakyat Palestin yang ditindas Israel.
“Ketika prinsip sering dikorbankan dengan mudah, beliau bersuara tanpa gentar menentang perampasan, pendudukan dan pembunuhan beramai-ramai.
“Sokongan Turki tidak terkata. Ia nyata, diplomatik dan teguh,” katanya.
Dalam pada itu, Erdogan dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia dan kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pengukuhan hubungan dua hala dalam kerjasama pertahanan, perdagangan serta kebudayaan.