KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia pada hari ini petlu mengenang jasa Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang sentiasa mahu negara dalam keadaan aman dan harmoni.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, almarhum bukan sahaja diingati sebagai Bapa Kemerdekaan Negara, sebaliknya bekas Perdana Menteri itu mesti dilihat sebagai simbol kesepakatan dan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum dalam satu identiti nasional.
“Dalam mengemudi Malaysia MADANI, saya berpegang teguh kepada nilai-nilai yang diwariskan Almarhum Tunku yakni perpaduan, integriti, dan keadilan buat semua selain bertekad untuk meneruskan perjuangan demi negara yang lebih sempurna serta makmur buat semua,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Hantaran Anwar itu bersempena ulang tahun keputeraan Almarhum Tunku Abdul Rahman pada hari ini.
Sehubungan itu Anwar mengajak rakyat mengambil semangat dan sumbangan Almarhum untuk inspirasi menjunjung nilai-nilai perpaduan dan keamanan yang telah membentuk kesatuan negara ini.
“Semoga legasi Almarhum Tunku terus menjadi panduan dalam usaha kita membina negara yang lebih baik untuk generasi mendatang.
“Mendoakan semoga roh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dilimpahkan sebesar-besar ganjaran ihsan dan rahmat Allah SWT,” katanya lagi.