JASIN: Seorang warga emas direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Jasin hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya ketika berusia tujuh tahun, dalam kejadian lima tahun lalu.
Majistret Mazana Sinin mengeluarkan perintah reman terhadap pesara pegawai veterinar itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Suspek, 63 tahun akan direman sehingga 11 Februari.
Memetik laporan, kejadian malang itu terjadi ketika mangsa yang kini berusia 11 tahun, tinggal sementara bersama suspek di Sungai Rambai, Jasin berikutan isteri suspek menunaikan umrah pada tahun 2020.
Turut berada di rumah yang sama ada ibu bapa mangsa.
“Kejadian terbongkar pada 29 Januari lalu apabila pengadu, ibu saudara kanak-kanak itu yang berusia 50-an bertanyakan pengalamannya tinggal bersama suspek lima tahun lalu ketika mangsa berusia 7 tahun.
“Kanak-kanak itu mendakwa telah dicabul datuknya dengan memaksanya menghisap kemaluan warga emas itu selain suspek turut cuba memasukkan kemaluannya ke dalam kemaluan mangsa.
“Ketika kejadian, isteri suspek tiada di rumah kerana menunaikan umrah,” katanya.
Menurutnya, suspek turut dikatakan mengugut untuk memukul mangsa yang bersekolah di Pulau Pinang sekiranya menceritakan kejadian itu kepada sesiapa termasuk ibu bapanya berusia 30-an.
“Mangsa juga takut untuk menceritakan kejadian itu kerana trauma pada suspek yang garang selain ibu bapanya juga dalam proses penceraian.
“Pengadu kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapa mangsa sebelum lelaki itu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan doktor di Hospital Melaka, Isnin lalu juga mengesahkan terdapat kesan koyakan selaput di kemaluan mangsa.
Susulan itu, suspek ditahan di rumahnya di Sungai Rambai kira-kira pukul 10 pagi semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 yang boleh di hukum penjara tidak kurang 20 tahun dan boleh disebat.