Tiada Masalah Berhimpun Tolak Rasuah Esok, Kata Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak ada masalah dengan mana-mana pihak yang mahu mengadakan himpunan, termasuk Himpunan Tolak Rasuah yang dijadualkan berlangsung esdok di Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Diminta mengulas kebimbangan kelulusan bagi Himpunan Rakyat Benci Rasuah, Anwar berkata kerajaan telah memberikan kebenaran berhimpun.

“Kita tiada masalah (dengan himpunan).

“Kebenaran telah diluluskan. Menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail) sudah beritahu.

“Cuma ada tempat yang tidak diberi kebenaran. Bagi saya tiada masalah…silakan bantah rasuah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menteri Kewangan itu menegaskan kerajaan pimpinannya komited memerangi rasuah sejak beliau menjadi perdana menteri dua tahun lalu, sambil menyatakan kes dibangkitkan sekarang adalah “lama”.

“Bila kita bangkit soal hilang berbillion-billion tidak ada pulak suara.

“Malah ada orang pertahankan pula,” katanya merujuk kepada skandal 1MDB.

Awal hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata penganjur himpunan antirasuah itu belum menyerahkan semula notis, memandangkan notis sebelum ini tidak lengkap.

Katanya, penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah masih belum menunjukkan mereka telah mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Dataran Merdeka sebagai tempat perhimpunan itu.

Rusdi turut mempertikaikan dakwaan bahawa DBKL bukan pemilik tempat itu.

Beliau berkata, di Kuala Lumpur, Padang Merbok dan Dataran Merdeka telah diwartakan sebagai tempat perhimpunan dan DBKL adalah pemilik ditetapkan bagi tempat itu.

Pada Selasa, Saifuddin menolak dakwaan pihak penganjur bahawa syarat ditetapkan polis untuk mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pemilik atau penghuni tempat perhimpunan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

BBerkaitan

Latest articles