KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesye Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan ke atas seorang penebar roti canai atas pertuduhan merogol dan amang seksual fizikal remaja kurang upaya (OKU), 11 Jan lalu.
Mohd Din Mohd Salleh, 60, yang juga penebar roti canai mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan sebelum Hakim Sayani Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadapnya, menurut Beriat Harian.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara berjalan serentak berkuat kuasa dari tarik tertuduh ditangkap, 17 Januari lalu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa merogol pelajar perempuan OKU berusia 13 tahun di dapur rumah sewa di Kluang, antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi, 11 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan kejadian berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, masing-masing penjara hingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Selain menjatuhkan hukuman itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling semasa dalam tahanan dan pengawasan polis setahun selari dengan Seksyen 26 dan 27 AKKSTKK.