RAMALLAH: Pasukan keselamatan Israel hari ini menyerbu bandar Jenin di Tebing Barat, membunuh sekurang-kurangnya sembilan rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkannya sebagai operasi ketenteraan berskala besar lagi penting dan mengumumkan ia adalah serangan baharu terhadap kumpulan yang disokong Iran.
Tindakan itu dilancarkan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan beliau menarik balik sekatan ke atas peneroka ultranasionalis Israel yang menyerang perkampungan Palestin.
“Kami bertindak secara sistematik dan tegas terhadap proksi Iran di mana sahaja ia membekalkan senjatanya. Di Gaza, Lubnan, Syria, Yaman dan Judea serta Samaria,” kata Netanyahu.
Judea dan Samaria adalah istilah yang digunakan Israel untuk Tebing Barat yang diduduki.
Sasaran di Jenin itu, di mana tentera Israel sudah melakukan beberapa serbuan dan pencerobohan besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, berlaku hanya dua hari selepas bermulanya gencatan senjata di Gaza.
Tentera berkata, pasukannya, polis dan perkhidmatan perisikan sudah memulakan operasi memerangi keganasan di Jenin.
Ia susulan operasi selama berminggu-minggu oleh pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat untuk mengambil semula kawalan di kem pelarian bersebelahan, pusat utama kumpulan bersenjata termasuk Hamas dan Jihad Islam, kedua-duanya mendapat sokongan daripada Iran.
Hamas, yang berpangkalan di Gaza, sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah meluaskan jangkauannya ke Tebing Barat, di mana Pihak Berkuasa Palestin (PA), yang didominasi Fatah, menjalankan tadbir urus terhad.
Pada Selasa, Hamas menyeru rakyat Palestin di wilayah itu untuk meningkatkan pertempuran menentang Israel.
Ketika operasi bermula, pasukan keselamatan Palestin berundur dari kem pelarian dan bunyi tembakan yang kuat kedengaran dalam rakaman telefon bimbit yang dikongsi di media sosial.
Perkhidmatan kesihatan Palestin berkata sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh dan 35 cedera dalam serbuan Israel, yang berterusan sehingga ke malam.
Seminggu sebelum itu, serangan udara Israel di kem pelarian Jenin membunuh sekurang-kurangnya tiga rakyat Palestin dan mencederakan lebih ramai lagi.
Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, yang pro kumpulan peneroka haram dan bertanggungjawab untuk sebahagian besar dasar Israel di Tebing Barat, menyatakan operasi itu hanya permulaan kepada kempen kuat dan berterusan terhadap kumpulan itu bagi tujuan perlindungan penempatan dan peneroka.
Sebelum ini, Smotrich mengalu-alukan keputusan Trump untuk menarik balik sekatan ke atas peneroka yang dituduh melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin.
Beliau berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baru AS dalam memperluaskan penempatan, yang dianggap kebanyakan negara sebagai melanggar undang-undang antarabangsa.
Beberapa hari sebelum operasi ketenteraan Israel di Jenin itu, penduduk Palestin di Tebing Barat memberitahu beberapa sekatan jalan raya dibuat di seluruh wilayah, di mana keganasan meningkat semula sejak permulaan perang di Gaza.
Lewat Isnin, sekumpulan peneroka Israel menyerang rakyat Palestin, menghancurkan kereta dan membakar harta benda, di sekitar perkampungan al-Funduq, berhampiran Qalqilya, kawasan di mana tiga warga Israel terbunuh dalam tembakan awal bulan ini.
Kira-kira 700,000 peneroka Israel tinggal di kalangan 2.7 juta rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, tanah yang ditawan Israel pada 1967.
Kebanyakan negara menganggap penempatan Israel di wilayah yang dirampas dalam peperangan sebagai haram.
Bagaimanapun, Israel menolak tanggapan itu dengan memetik hubungan sejarah mengenai pemilikan tanah itu. – REUTERS