KUALA LUMPUR: Seorang warga emas dari India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan di sebuah surau di Segamat, minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Shaikh Faroouqe Nabisaheb, 59, kerana tidak memahami pertuduhan yang dikemukakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di sebuah surau pada jam 6.20 petang, 4 Januari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada waktu, tarikh dan lokasi sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dengan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan laporan dibuat, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan lelaki bermain di taman permainan sebelum ke surau terbabit untuk minum kerana kehausan.
Ketika itu, tertuduh yang berada di surau terbabit mendekati mangsa dan menghulurkan not RM1 seorang.
Pada masa sama, tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu terhadap kedua-dua mangsa perempuan.
Perbuatan tertuduh disaksikan rakan lelaki mangsa sebelum mereka memberitahu ibu bapa masing-masing mengenai kejadian itu.
Susulan itu, ahli keluarga kedua-dua mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada 4 Januari dengan tertuduh ditahan pada hari sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan dan Diyana Najiha Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh singkat bagi membolehkan kehadiran jurubahasa.
Mahkamah menetapkan 10 Februari untuk sebutan semula dan tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.