Titah Adendum Tidak Disorok, Kerajaan Tak Pernah Terima Sebelum Ini

KUALA LUMPUR: Tidak timbul istilah kerajaan menyembunyikan titah adendum seperti yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Sebaliknya menurut jurucakap Kerajaan Perpaduan, Ahmad Fahmi Fadzil, dirinya sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak pernah melihat atau dimaklumkan mengenai dokumen tersebut.

“Dokumen yang dimaksudkan itu sejujurnya tidak disorok, saya sendiri sebagai Menteri Komunikasi, tidak ada menerima, melihat ataupun dimaklumkan dokumen tersebut.

“Saya percaya perkara ini, oleh sebab ia melibatkan Lembaga Pengampunan dan kita juga ambil maklum Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diserah semula ke Mahkamah Tinggi.

“Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memprejudiskan perjalanan kes tersebut,” ujarnya dalam sidang media hari ini.

Ditanya mengapa kerajaan perlu mengambil masa yang lama untuk mendedahkan titah adendum tersebut, Fahmi berkata, ia berpandukan kepada proses mahkamah.

“Dalam hal ini, kita berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah dan seperti jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin di Parlimen sebelum ini, kita (kerajaan) tertakluk kepada prinsip subjudis, maka kita akur dan patuh dengan prinsip itu,” ujarnya.

Isnin lalu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya titah adendum membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Shafee berkata, surat bertarikh 4 Januari lalu itu dihantar kepada anak sulung Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

BBerkaitan

Latest articles