Rogol, Liwat Anak Angkat, Jadikan Kandungan Pedofil, Pasangan Gay Kena Penjara 100 Tahun

KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang juga pasangan gay warga Amerika Syarikat dihukum penjara selama 100 tahun atas tuduhan mendera dua anak angkat lelaki mereka secara seksual dan berkongsi video dengan pedofil lain.

Kedua-dua mangsa, yang berusia 10 dan 12 tahun mula didera secara seksual sejak masing-masing berusia tiga dan lima tahun.

Pasangan William, 34 dan Zachary Zulock, 36 akan menghabiskan sisa hidup mereka di penjara, tanpa kemungkinan parol, kata pejabat Peguam Daerah Walton County.

“Kedua-dua defendan ini benar-benar mencipta rumah kezaliman dan meletakkan keinginan mereka yang sangat gelap di atas segala-galanya dan orang lain,” kata Peguam Daerah Randy McGinley, menurut WSB-TV.

Kedua-dua beradik itu, kini berusia 12 dan 10 tahun, telah diambil sebagai anak angkat oleh Zulock daripada agensi keperluan khas Kristian.

Pasangan itu membesarkan kanak-kanak itu di pinggir bandar Atlanta.

Mereka golongan kaya dengan Zachary bekerja di bidang perbankan dan William adalah kakitangan kerajaan.

Dalam siasatan awal di rumah mewah Zulocks, polis menyemak rakaman dua minggu dari kamera pengawasan dalaman, yang menunjukkan lelaki itu mendera kanak-kanak secara seksual di ruang berlainan.

Bukti mendedahkan mereka juga bercakap besar tentang penderaan kepada beberapa rakan dan menggunakan media sosial untuk berkongsi video penderaan dengan kumpulan pedofil tempatan yang rosak akhlak.

Pasangan itu ditahan pada 2022 selepas seorang yang dikatakan anggota kumpulan itu ditangkap memuat turun bahan lucah kanak-kanak dan mendedahkan kepada penyiasat bagaimana Zulocks menghasilkan video dengan budak lelaki yang tinggal di rumah mereka.

William mengaku bersalah pada Ogos dan Zachary pada Oktober tahun ini atas tuduhan mencabul kanak-kanak yang lebih teruk, liwat yang teruk dan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, Hakim Jeffrey L Foster mengikut saranan negeri dan menjatuhkan hukuman penjara 100 tahun tanpa kemungkinan parol.- Agensi

BBerkaitan

Latest articles