MyBHA, Vendfun Meterai MOU Teroka Inovasi Hotel Pintar

KUALA LUMPUR: Pengenalan teknologi terkini dalam perkhidmatan hotel dapat membawa kemajuan sekaligus menambah baik kualiti bidang berkenaan.

Sehubungan itu, Persatuan Hotel Bajet & Perniagaan Malaysia (MyBHA) dan Vendfun Sdn. Bhd. memupuk kerjasama strategik melalui Memorandum Persefahaman (MOU) bersama bagi memacu kemajuan teknologi dan mempromosikan inisiatif hotel pintar dalam sektor hospitaliti Malaysia.

Selain dapat membangunkan dan mempromosikan konsep hotel pintar di negara ini, MOU ini mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini yang boleh mengubah operasi hotel tradisional kepada pengalaman pintar, cekap dan mesra tetamu.

Sekaligus menawarkan perkhidmatan yang lancar, seperti interaksi tetamu dikuasakan AI dan kawalan bilik pintar.

Kedua-dua pihak juga sepakat menambah baik infrastruktur teknologi dalam industri perhotelan yang dapat meningkatkan operasi hotel dan meningkatkan keseluruhan pengalaman tetamu.

Antara penyelesaian inovatif yang ditawarkan adalah sistem daftar masuk dan daftar keluar pintar, teknologi cekap tenaga, sistem kunci bilik digital dan perkhidmatan tetamu diperibadikan dikuasakan AI.

Presiden MyBHA, Dr. Sri Ganesh Michiel berkata kemajuan tersebut diharap dapat memenuhi permintaan dan jangkaan pelancong luar negara dan menjadikan pasaran hospitaliti tempatan bersifat kompetitif dan setanding negara luar.

“Perkongsian dengan Vendfun menandakan kejayaan penting bagi kedua-dua pihak dan industri hospitaliti Malaysia. Dengan menerima teknologi canggih, kami bukan sahaja meningkatkan pengalaman tetamu tetapi juga memastikan ahli kami kekal berdaya saing dalam dunia digital yang sentiasa berkembang,” katanya.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Vendfun Sdn. Bhd., Benny Wee berkata pihaknya teruja untuk menjalin kerjasama strategik berkenaan.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan MyBHA dalam membawa penyelesaian hotel pintar ke Malaysia. Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan kepakaran teknologi kami untuk mewujudkan operasi hotel yang inovatif dan cekap yang memberi manfaat kepada tetamu dan pemilik hotel.

Memorandum Persefahaman ini menandakan komitmen kami untuk memacu masa depan hospitaliti pintar di Malaysia,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles