KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional akan mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen parti itu yang berpaling tadah.
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berkata tindakan speaker membuat tafsiran yang mencemar peruntukan antilompat parti harus dicela.
“Keputusan YB speaker dengan memberikan alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan YB speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,”
Keputusan YB Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan. Keputusan YB Speaker dengan memberikan alasan-alasan dangkal dan tafsiran songsang menunjukkan YB Speaker telah mencemar Perlembagaan Persekutuan sedangkan beliau telah berikrar untuk menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negara katanya pada sidang media di Parlimen.
Menurutnya Peruntukan Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut setelah dipilih ke Dewan Rakyat sebagai anggota suatu parti politik tersebut.
” Dalam situasi ini, jelas bahawa enam Ahli Dewan Rakyat tersebut di sini tidak lagi menjadi ahli BERSATU berikutan dengan peruntukan- peruntukan perlembagaan BERSATU.
Di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, apa-apa pentafsiran perlembagaan parti politik oleh parti tersebut adalah muktamad dan konklusif.
Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU telah pun memutuskan bahawa enam ahli Dewan Rakyat ini adalah telah terhenti keahliannya. Pentafsiran BERSATU terhadap perkara ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan.
” Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukkan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang. Hanya mahkamah mempunyai bidangkuasa untuk mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan katanya.
Sementara itu, menurut Muhyiddin lagi bagi Parlimen Labuan pula, YB Speaker memberikan alasan remeh dan enggan mengisytiharkan kekosongan kerusi tersebut setelah YB P.166 Labuan tersebut memulakan tindakan mahkamah yang juga menyalahi peruntukan Perlembagaan BERSATU.
Saya menyeru YB Speaker untuk menegakkan tujuan dan hasrat sebenar peruntukan 49A Perlembagaan Malaysia yang bertujuan mengekang perbuatan-perbuatan khianat ahli Dewan Rakyat yang menodai mandat rakyat semasa pilihanraya.
Seperti mana kata-kata YB Speaker semasa beliau menjadi pembangkang yang dipetik dalam hansard Dewan Rakyat bertarikh 27 Julai 2022 di muka surat 85, ketika membahaskan RUU Pindaan Perlembagaan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti,
“Inilah satu-satunya undang-undang yang boleh menyekat kita daripada terus menjahanamkan negara kita. Tidak kiralah sama ada sebelah sini (pembangkang) atau sebelah sana (kerajaan) tetapi ini harus terhenti di sini.”
Hakikatnya, keputusan YB Speaker ini sendiri telah mengkhianati semangat dan hasrat murni pindaan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang Ahli Parlimen melompat parti katanya lagi.