Ibu Zayn Rayyan Hanya Beri Keterangan Depan Majistret, Bukan Pengakuan

KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak autisme yang ditemui maut pada Disember lalu, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak membuat pengakuan bersalah, sebaliknya memberikan keterangan di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.

Dalam pada itu prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret Petaling Jaya itu turut merekodkan bantahan pihak pembelaan terhadap permohonan pihak polis untuk mendapatkan pengakuan salah daripada wanita itu.

Peguam yang mewakili wanita tersebut Mahmud Jumaat berkata, bantahan dibuat selepas anak guamnya dibawa oleh pihak polis hari ini untuk membuat permohonan di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

“Pengakuan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh digunakan dalam mahkamah, kecuali pengakuan tersebut dibuat di hadapan majistret. Dalam kes ini prosedur dibuat PDRM untuk (mendapatkan) ada atau tidak pengakuan salah yang dibuat anak guam.

“Namun menariknya di sini, anak guam tidak membuat sebarang pengakuan salah sebaliknya beliau membuat keterangan kepada Majistret. Anak guam tekankan beliau tidak buat pengakuan salah sebaliknya memberi keterangan yang sangat berlainan dengan apa yang telah diuar-uarkan di luar sana,” katanya kepada media di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Dalam pada itu ibu kanak-kanak itu memberi keterangan selama lebih kurang sejam, dengan prosiding berlangsung secara tertutup.

Sementara itu, peguam bapa Zayn Rayyan turut memfailkan bantahan yang sama.

Fahmi Abdul Moin berkata, bantahan dibuat kerana permohonan prejudis terhadap anak guamnya dan berisiko menjejaskan kes pada masa akan datang.

Tambah beliau, pasukan pembelaan juga tidak dimaklumkan terlebih awal berkenaan permohonan polis pada hari ini.

“Asas bantahan kami dalam Kanun Tata Cara Jenayah tidak ada apa-apa dinyatakan proses yang jelas tentang permohonan seperti ini di mana kami juga bertanyakan pihak pegawai penyiasat tidak dimaklumkan lebih awal.

“Bantahan telah direkodkan pihak mahkamah, atas tidak ada apa-apa peruntukan khusus kami juga menyatakan ianya sangat perjudis terhadap dua anak guam yang tidak dibawa,” ujarnya.

Fahmi turut menyifatkan prosiding yang berlangsung pada hari ini sebagai luar biasa dan ‘illegal’.

Tempoh reman bagi kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan tamat pada esok.

BBerkaitan

Latest articles