KUALA LUMPUR: Kesemua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Bersatu diberi masa 14 hari untuk mengesahkan pematuhan kepada arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu hari ini.
MPT sudah menghantar surat kepada semua wakil rakyat parti itu untuk menyatakan sokongan kepada parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata antara arahan yang diberikan adalah supaya setiap wakil rakyat parti itu sedar tanggungjawab mereka di bawah perlembagaan Bersatu untuk setia kepada parti dengan mendukung dasar dan matlamat parti.
Menurutnya sekiranya mereka gagal membalas surat berkenaan dalam tempoh ditetapkan, keahlian dalam parti terhenti dengan serta-merta dan kedudukan sebagai wakil rakyat akan tergugur.
“MPT telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN melalui e-mel, kurier dan serahan tangan sejak hari ini,”katanya pada sidang media di sini hari ini.
“Keduanya, kita ingin mereka mengetahui bahawa kepimpinan Bersatu telah membuat ketetapan bahawa tidak menyokong atau menyertai kerajaan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Ketiganya, kepimpinan juga membuat ketetapan bahawa Bersatu tidak menyokong mana-mana Menteri Besar, Ketua Menteri atau menyertai mana-mana kerajaan negeri yang tidak dipersetujui oleh Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat arahan tambahan khusus untuk enam orang Ahli Parlimen Bersatu yang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini.
April lalu Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan permohonan pindaan Perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu menggugurkan keahlian wakil rakyat mereka yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.
Enam ahli Parlimen Bersatu yang telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. – BERNAMA